Antara al-Albani, al-Malibari, al-Kawthari dan al-Muallimi. Yang Manakah Terbaik dalam Ilmu Hadis?

Anas Bad Latif
5 min readAug 22, 2023

--

Dr Hamzah al-Bakri

Apabila Dr Abd al-Karim al-Wureikat mengatakan buku ini adalah bukan kitab dalam Mustalah al-Hadis, bahkan kitab yang mendalami falsafah dan maksud Ilmu Hadis, sudah boleh dibayang apa tujuan penulisan Dr Hamzah (Muhammad Wasim) al-Bakri.

Pada pengenalan buku ini Dr Hamzah ada memberitahu aspirasi beliau dalam Ilmu Mustalah Hadis atau Ulum Hadis. Ujar beliau, Ulum Hadis ini neutral mazhab (paling kurang dalam bahagian istilah dan mustalahat), kita boleh lihat Asyairah boleh satu garis dengan Salafiah dan juga dengan Maturidiah.

Beliau cuba untuk kumpulkan pandangan seperti al-Kawthari dan al-Muallimi juga Hamzah al-Malibari dan al-Albani. Bagi sesiapa yang sudah membaca karya PhD Dr Umar Muhammad Noor pasti akan mudah menggarap kitab ini.

Mahiah yang dimaksudkan di sini saya rasa mirip dengan ‘Epistemelogi’, beliau membincangkan secara dasar berkenaan asal muasal dan istilah dalam Hadis. Menurut Dr Hamzah, golongan Muhaddisun agak terlewat untuk membincangkan perkara ini berbanding Ilmuan Islam dalam Bidang Bahasa dan Usul Fiqh. Mereka seawal kurun ke-4/5 Hijrah sudah memulakan perbincangan ini.

Manakala, Muhaddisun baru bermula sejak Kurun ke-7/8 Hijrah. Epistemologi ilmu ini sangat penting. Ia boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan ilmu yang akan sentiasa berkembang mengikut zaman.

Dalam waktu yang sama, Mufassirun lebih lambat lagi dari Muhaddisun. Perbincangan tentang hal ini baru ternampak zahir pada kurun ke-12/13 Hijrah.

Mahiah Ulum al-Hadith wa al-Ittijahat al-Naqdia al-Muasirah. Karya Dr. Hamzah al-Bakri

Dr. Hamzah al-Bakri juga telah menulis sebuah ijtihad yang baik dalam usaha penyusunan semula Ulum al-Hadis/Mustalah al-Hadis.

Beliau telah mengumpulkan data dari penulisan oleh para ilmuan dari pelbagai bidang. Beliau telah membahagikan penulisan ini kepada 3 kumpulan dengan mengikut latar belakang yang tertentu.

  1. Kumpulan yang pertama, terdiri dari ilmuan yang bukan di dalam pengkhususan Hadis. Mereka terdiri dari Ibn al-Akfani (749H), al-Kirmani (786H), al-Izz Ibn Jamaah (819H).
  2. Kumpulan yang kedua pula terdiri golongan jaguh di dalam bidang Hadis. Mereka ialah: Ibn Hajar (852H) dan al-Biqaie (885H).
  3. Kumpulan yang ketiga adalah kumpulan campuran di antara golongan ilmuan bidang Hadis dengan yang bukan bidang Hadis. Dr Hamzah telah mengumpulkan mereka atas mereka berada di zaman al-Muta’akhirin. Mereka ialah: al-Kafiyaji (789H), al-Sakhawi (902H), al-Suyuti (911H) dan Zakaria al-Ansari (926H).

Mengapakah Dr. Hamzah membahagi para ilmuan ini ke dalam 3 kumpulan yang tertentu. Kerana setiap kumpulan ini, dengan kemahiran dan kelebihan yang berbeza telah banyak mencorakkan perkembangan Ilmu Hadis serta telah memberi banyak kesan kepada Ilmuan Hadis pada zaman moden ini.

Menurut penulis karya ini, kumpulan pertama yang terdiri dari bukan pengkhususan Hadis, adalah golongan yang sangat hebat dan terkenal di dalam al-Ulum al-Aqliah. Sebagai contoh Ibn al-Akfani ialah seorang ahli logika yang hebat di dalam bidang mantik dan di dalam masa yang sama juga adalah seorang tokoh perubatan di zamannya. Manakala al-Kirmani dan al-Izz Ibn Jamaah adalah tokoh yang hebat di dalam Ilmu Kalam dan Ilmu Bahasa Arab.

Golongan yang pertama ini jugalah yang telah banyak menulis dan membentuk Ilmu Hadis seperti mana yang kita kenal hari ini. Dengan kelebihan mereka di dalam Ilmu Mantiq, Ilmu Hadis telah dibentuk dengan acuan mantik. Yang paling jelas ialah pembahagian Ilmu Hadis kepada Riwayat dan Dirayat adalah hasil ijtihad dari Ibn al-Akfani itu sendiri. Banyak lagi contoh dan data yang telah dipersembahkan oleh Dr. Hamzah al-Bakri di dalam karyanya ini.

Manakala golongan yang kedua dan ketiga ini, tanpa dinafikan lagi kehebatan mereka di dalam Bidang Hadis. Mereka telah banyak mengolah, menapis dan meng’kanun’kan penyusunan Ilmu Hadis itu sendiri.

Tentulah yang paling menonjol di dalam dua kumpulan ini ialah Ibn Hajar al-Asqalani. Banyak penulisan dan pendapat beliau telah dikira sebagai ‘kata akhir’ bagi penyusunan Illmu Hadis.

Dari kiri: Syaikh al-Albani, Dr Hamzah al-Malibari, Syaikh Zahid al-Kawthari dan Syaikh Abd Rahman al-Muallimi.

Kemudian beliau membandingkan aliran pelbagai dari Ulama’ yang terdahulu dengan Ulama’ zaman moden.

Untuk tokoh yang moden, beliau telah membahagikannya kepada 3 aliran:

1. Aliran Syaikh Nasiruddin al-Albani

2. Alirah Syaikh Dr. Hamzah al-Malibari

3. Aliran Syaikh Zahid al-Kawthari dan Syaikh Abd Rahman al-Muallimi

Dari aliran 1 & 2, Dr al-Bakri telah menyenaraikan kelebihan mereka, namun beliau lebih banyak mengkritik metod mereka dalam penyusunan Ilmu Hadis.

Menurut Dr Hamzah, Aliran 1, yang mana Syaikh al-Albani adalah tokohnya yang paling menonjol, mempunyai satu sisi yang amat menyerlah.

Aliran ini telah menjadikan karya-karya Ulama’ Hadis di dalam Bidang Mustalah Hadis atau Ulum al-Hadis sebagai sumber utama bagi menghukum sesebuah hadis. Kesimpulan yang telah dibuat ini sangat jelas di dalam karya Syaikh al-Albani seperti: “سلسلة الأحاديث الضعيفة”.

Kemudian, Aliran ke-2 yang ditonjolkan oleh Dr Hamzah al-Malibari mempunyai kelebihan yang tersendiri. Al-Malibari sangat mendokong Aliran al-Mutaqaddimin di dalam Hadis yang menurut beliau adalah sebuah aliran yang perlu didokong dan dirujuk oleh semua pencinta Hadis.

Tetapi, menurut Dr Hamzah al-Bakri, aliran ini ada terdapat beberapa kritikan yang perlu diketengahkan:

  • Menurut Dr. al-Malibari; kebanyakan karya-karya Ilmu Hadis dipenuhi dengan istilah-istilah yang rambang dan samar-samar. Oleh itu, beliau menyarankan untuk dirujuk semula kepada karya di dalam Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil dan Ilmu Rijal. Di sini Dr. al-Bakri mengkritik bahawa istilah yang digunakan di dalam karya Ulama’ al-Mutaqaddimin di dalam segenap bidang Ilmu Hadis juga dipenuhi dengan istilah yang samar-samar dan masih belum disepakati
  • Yang kedua, Dr. al-Malibari juga menyelar karya-karya Ilmu Hadis yang menurut beliau dipenuhi dengan istilah-istilah yang dipengaruhi oleh Ilmu Fiqh dan Ilmu Mantik. Sekali lagi Dr. al-Bakri membalas dengan menyatakan semua ini adalah hujah yang tidak berasas, bahkan ini menunjukkan kekayaan ilmu di dalam Islam.

Bagi Dr Hamzah al-Bakri aliran 3 adalah yang paling terbaik. Satu kesimpulan yang agak mengejutkan, kerana beliau telah menghimpunkan 2 tokoh yang amat berbeza dari segi aliran. Dan Dr Hamzah al-Bakri bagi sesiapa yang tahu, juga sangat berbeza aliran beliau dengan al-Muallimi.

Namun, ada beberapa sebab Dr al-Bakri memilih 2 tokoh ini. Menurut saya satu kata kunci yang boleh menggambarkan ‘ijtihad’ Dr al-Bakri ini ialah, kesederhanaan.

Ya, walaupun kita agak terkejut apabila al-Kawthari dan al-Muallimi dikumpulkan di dalam satu kumpulan, tetapi inilah hakikat yang difahami oleh saya, kesederhanaan ijtihad 2 tokoh ini menjadikan mereka berada di dalam satu garisan yang sama. Itulah garisan tengah yang telah dipilih oleh Dr al-Bakri.

Aliran ke-3 ini sama sekali tidak bergantung sepenuhnya kepada karya-karya Mustalah al-Hadis, seperti yang telah berlaku oleh Kumpulan Syaikh al-Albani. Bahkan al-Kawthari dan al-Muallimi telah sama-sama mengkritik aliran ini, sama ada secara terus atau secara tidak langsung.

Perbezaan yang ketara antara al-Kawthari dan al-Muallimi dengan al-Malibari ialah, Aliran ke-3 ini tidak bertindak ‘membangkul sampah’kan karya-karya Mustalah Hadis oleh Ulama al-Mutaakhirin. Mereka bahkan bermula dari karya Ulama’ semisal Ibn Solah serta disirnegikan dengan karya Ilmu Jarh wa Ta’dil dan Ilmu Rijal. Dengan formula inilah Dr Hamzah al-Bakri telah memilih 2 tokoh ini sebagai tokoh yang terbaik di dalam penyusunan Ilmu Hadis.

P/s: saya kira pilihan Dr Hamzah al-Bakri ada sedikit berbeza dengan pilihan dan tesis Dr Umar Muhammad Noor.

--

--

Anas Bad Latif
Anas Bad Latif

Written by Anas Bad Latif

Ulum Al-Quran | Usul Al-Tafsir | Tafsir Al-Quran

No responses yet