Mengenang Semula 2 Oktober, Salahuddin & Jerusalem
Bagi sesetengah orang tarikh 2 Oktober adalah hari-hari yang biasa berlalu pergi. Namun, bagi saya ia adalah tarikh peribadi yang amat bermakna. Tetapi semakin meningkat umur, ia adalah tarikh yang mendekatkan diri dengan seorang sosok dan sebuah kisah yang amat bermakna bagi sekalian Muslimin.
Pada tahun 1187M, bermula 20 September dan akhirnya 2 Oktober Baitul Maqdis kembali semula ke tangan Muslim yang diketuai oleh Salahuddin al-Ayyubi.
Ramai yang senang untuk kenang kisah yang gemilang ini. Tetapi ramai yang kurang mendalami disebalik temasya yang besar ini.
Salahuddin mula menempa nama apabila berlaku vakum kuasa yang terjadi akibat melemahnya pusat kuasa Syiah Fatimiah di Mesir. Pergolakan yang berlaku antara menteri proksi sunni dan proksi nasrani serta merta terhenti apabila kedua proksi ini ditakdirkan untuk mati sama ada secara dibunuh atau secara semulajadi.
Lalu, Khalifah Fatimiah yang masih bocah dengan dinasihati orang kanannya melantik Salahuddin untuk menjadi menteri yang paling kanan, dengan alasan, ‘dalam banyak-banyak calon, beliaulah yang paling lemah dan tidak berpengaruh’.
Begitulah aturan Tuhan yang Maha Merancang. Tanpa membuang masa, Imad al-Din al-Zengi menggesa supaya Salah al-Din tidak berlengah untuk menukarkan kepatuhan Mesir kepada Khalifah Abbasiah.
Kemudian, kerja Salahuddin tidaklah semakin mudah, beliau perlu mengumpul pengaruh yang pelbagai yang tertumpu di Mesir, Damsyik & Mosul. 3 Kota Utama bagi Islam pada ketika itu. Diceritakan Salahuddin telah membelanjakan jumlah yang amat besar untuk menyatukan Umat Islam yang sangat berpecah pada ketika itu.
Namun, satu kelebihan Salahuddin ialah beliau adalah pemimpin yang bersih dan tulus, itulah yang diceritakan oleh William of Tyrer. Manakan tidak, Syiah Ismailiah yang berada di Syam yang telah berusaha untuk membunuh beliau turut dimaafkan. Hasilnya beliau dapat menyatukan saf Umat Islam yang amat berpecah dan berbilang mazhab.
Kemudian, tumpuan Salahuddin beralih ke arah Tentera Salib. Perlawanan Salahuddin dan Raja Baldwin adalah perlawanan yang lagenda. Perlawanan antara 2 pemimpin agama yang sama dalam sifat zuhud dan alim.
Walaupun Baldwin, raja kusta itu masih remaja lagi. Beliau telah berjaya mengalahkan Salahuddin pada tahun 1177 di Perang Montgisard yang sekarang terletak hampir di Ramallah. Salahuddn pada ketika ini jatuh terjelepuk. Dikatakan beliau hilang jauh dan sesat hingga ke Sinai. Bahkan, menterinya di Kaherah terpaksa menggunakan Arab Badwi yang pakar selok belok di Sinai untuk mencari Salahuddin.
Begitulah Salahuddin. Walaupun sudah terjatuh hingga ke tahap yang paling bawah, beliau telah mengumpulkan semula kekuatan selama 10 tahun dan seterusnya mengambil semula Jerusalem yang sakti itu ke dakapan Muslimin.
Semoga bangkit lagi sosok seperti Salahuddin yang tulus, bersih, pemaaf dan kental.