PANDANGAN RINGKAS BERKENAAN PENULISAN DI DALAM BIDANG ULUM AL-QURAN

Buku-buku berkaitan dengan Ulum Al-Quran pada hemat saya, tidaklah terlalu terkenal atau ‘biasa’ seperti yang terdapat pada ilmu dan bidang yang lain seperti Fiqh, Usul Fiqh, Hadis, Nahu dan juga yang lain-lain.
Mungkin apabila bercakap tentang Buku Ulum Al-Quran gambaran pertama yang menjengah pemikiran kita ialah; Al-Burhan Fi Ulum Al-Quran (Al-Zarkasyi), Al-Itqan Fi Ulum Al-Quran (As-Suyuthi) dan Mabahith Fi Ulum Al-Quran (Manna’ Qathan).
Seperti Ilmu-ilmu yang lain, semuanya telah melalui pelbagai proses yang panjang dan tidak bermula dari kosong. Prof. Dr. Musaid At-Tayyar telah menulis satu artikel yang sangat mencerahkan tentang Sejarah Penulisan Buku Ulum Al-Quran. Beliau terlebih dahulu telah membuat pembahagian usaha umat ini dalam memajukan Wacana Ulum Al-Quran ke dalam beberapa bahagian:
1. Risalah ringkas yang ditulis tentang satu tajuk khas, seperti; Nasikh dan Mansukh.
2. Buku yang mengumpul segala ilmu berkaitan dengan Al-Quran seperti; Al-Burhan Fi Ulum Al-Quran (Al-Zarkasyi) dan Al-Itqan Fi Ulum Al-Quran (As-Suyuthi).
3. Buku khas yang ditulis bagi tujuan mengumpul segala tajuk yang berkaitan dengan Ulum Al-Quran, nama tidak ada pada tajuk buku itu berkaitan dengan Ulum Al-Quran, Contoh; Fahm Al-Quran (Al-Muhasibi) dan Jamal Al-Qurra’ Wa Kamal Al-Iqra’ (As-Sakhawi).
4. Buku yang ditulis khas berkaitan salah satu dari Ulum Al-Quran, tetapi diselitkan juga ilmu-ilmu yang lain berkaitan Al-Quran, Contoh; At-Tabyin Li Hija’I Mushaf Amir Al-Mukminin Uthman Bin Affan (Abu Dawud Sulaiman Bin Najah). Seperti yang jelas pada tajuk, buku yang ditulis adalah berkaitan dengan Rasam Mushaf, namun di dalamnya diselit juga tentang ilmu-ilmu yang lain.
5. Buku yang ditulis untuk mengumpul dan menggabungkan diantara Tafsir dan Ulum Al-Quran.
Inilah pengkelasan yang telah diijtihadkan oleh Prof At-Tayyar, namun pada kelas yang ke 5 itu perinciannya sangat teliti dan berhajat pada penulisan yang berikutnya.
Wallahuaalam.