Pertabalan YDP Agong & Kitab-Kitab Siyasah Syar’iyyah Di Zaman Pra Moden Islam

20 Julai 2024 merupakan tarikh yang simbolik buat Negara Malaysia kerana pada hari ini merupakan Istiadat Pertabalan YDP Agong Yang Ke-17, Sultan Ibrahim. Umum mengetahui betapa pentingnya kedudukan Institusi Raja buat Negara Malaysia, khususnya berkaitan Agama Islam.
Sejak ribuan tahun dahulu, Para Ulama’ sudah menulis berkaitan peranan raja atau pemimpin dan kepentingan institusi buat Islam dan Masyarakat. Penulisan berkaitan Siyasah Syar’iyyah kelihatan amat jelas berkembang apabila Institusi Khilafah Islamiah hampir hancur pada tahun 1258 akibat penjajahan ganas oleh Mongol ke atas Baghdad, pusat pemerintahan Empayar Abbasiah.
Selepas Penjajahan Mongol ke atas Baghdad, hampir-hampir melenyapkan kuasa dan simbol Khalifah. Tetatpi atas usaha kuat dan gigih seorang Sultan Kerajaan Mamluk, iaitu Sultan Baybars, beliau telah ‘membina’ semula Institusi Khalifah buat Bani Abbasiah di Kaherah.
Namun, ternyata kuasa dan pengaruh jawatan Khalifah di Kaherah tidak sama seperti di Baghdad. Kerana, Kuasa Sultan Kerajaan Mamluk boleh dikatakan agak berpengaruh dan kadangkala lebih kuat berbanding Khalifah.
Oleh itu, datanglah kuasa ketiga yang dikira amat penting dan berpengaruh di dalam Masyarakat Islam, iaitu Golongan Ulama’ dan Ilmuan.
Mereka kebanyakannya memegang tampuk atau jawatan di pemerintahan Sultan Mamluk atau Khalifah Abbasiah. Usaha mereka amat penting dan begitu relevan dalam mengimbangi pergelutan dan pertembungan kuasa antara Sultan dan Khalifah.
Antara cara mereka imbangi 2 kuasa besar ini adalah dengan cara mereka menulis buku berkaitan Siyasah Syar’iyyah atau Politik Islam yang sarat dengan Hujah Naqliah dan teknikaliti di dalam pentadbiran.
Jadi, berikut merupakan penulisan yang telah ditulis oleh ulama’ secara berzaman berkaitan Siyasah Syar’iyyah:
1. Al-Ghiyathi oleh Imam al-Haramayn al-Juwayni

Imam al-Haramayn Abu al-Maali al-Juwayni (478H) merupakan seorang ilmuan dan ulama’ yang amat berpengaruh. Gandingan al-Juwayni bersama Menteri Seljuq, Nizam al-Mulk (485H) boleh dikatakan telah membawa Kerajaan Seljuq berada di puncak keemasannya yang gemilang.
Al-Juwayni telah menulis sebuah buku berkaitan Siyasah Syar’iyyah yang boleh dianggap paling penting dalam bidang ini. Buku penulisan beliau ini berjudul “Ghiyath al-Umam fi Iltiyaht al-Zulam” (Pelindung Umat di dalam Kegelapan).
Di dalam penulisan ini, al-Juwayni benar-benar telah menggariskan beberapa teori yang dianggap amat berguna buat zaman pasca kejatuhan Khalifah di Baghdad.
Al-Juwayni yang menulis al-Ghiyathi ini ketika Khalifah di Baghdad masih utuh. Tetapi boleh dikira amat mengejutkan apabila al-Juwayni juga menggariskan beberapa langkah yang boleh dibuat oleh umat jika pada saat itu Komuniti Islam menghadapi kekangan untuk memilih jawatan nombor 1 buat Masyarakat Islam.
Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh umat Islam pada ketika berlakunya kesukaran adalah memilih calon-calon yang paling sesuai sekali untuk memegang tampuk tertinggi pemerintahan Islam. Langkah kedua yang perlu dikenal pasti oleh umat adalah perlu adanya kuasa ketenteraan dan kuasa sosial yang akan melindungi khalifah atau sultan. Langkah yang terakhir, umat Islam perlu memastikan adakah kebarangkalian berlakunya ‘vakum’ kekuasaan. Walaupun situasi ini dikira amat mustahil untuk berlaku, al-Juwayni tetap memberikan peringatan tentang situasi ini agar umat Islam perlu adanya kekuatan ketenteraan yang akan menghalang dari berlakunya huru-hara anarki.
Al-Juwayni juga menyarankan teori yang boleh dikira agak progresif, jawatan khalifah perlulah disokong oleh ilmuan atau ulama’ yang punyai kekuatan untuk melakukan ijtihad agar ulama’ ini akan mampu memberi nasihat dan petunjuk kepada jawatan khalifah yang juga digelar sebagai ‘al-Imam’.
Rentetan dari teori di atas, al-Juwayni juga menyatakan, jawatan khalifah boleh dijawat oleh seorang yang terkenal atau diketahui ‘dosa’nya, sama ada dia itu meminum arak atau sebarang dosa yang lain. Tetapi al-Juwayni telah menetapkan syarat lanjut yang ketat, iaitu khalifah yang punyai sifat seperti ini, haruslah mempunyai mandat sokongan sosial, politik dan ketenteraan. Tentu yang paling penting, khalifah ini juga haruslah punyai hasrat dan visi untuk mewujudkan Masyarakat Islam yang sejahtera.
Walaupun al-Juwayni hidup dan menulis kitabnya ini lebih kurang 200 tahun sebelum Kejatuhan Baghdad, banyak yang telah ditulis al-Juwayni di dalam al-Ghiyathi ini amat relevan buat ulama’ dan umat Islam yang datang selepasnya.
2. Tahrir al-Ahkam fi Tadbir Ahl al-Islam oleh Badr al-Din Muhammad Ibn Jama’ah
Badr al-Din Muhammad Ibn Jama’ah (733H) adalah seorang Qadhi Mazhab al-Syafie bagi Kesultanan Mamluk di Mesir dan Syam. Beliau adalah antara ulama’ yang hidup ketika Kejatuhan Baghdad berlaku. Ibn Jama’ah juga hidup ketika mana berlakunya pergulatan politik yang aktif berlaku di pusat pemerintahan Mamluk di Kaherah.
Oleh itu, di dalam karya monumental beliau Tahrir al-Ahkam fi Tadbir Ahl al-Islam, Ibn Jama’ah telah memperkenalkan satu teori, iaitu; ‘Ghalabah’ yang bermaksud mengharuskan peralihan kuasa melalui kekuatan/ rampasan/ kekerasan jika ada kemampuan, bahkan tidak disyaratkan untuk mendapat sokongan sosial atau dokongan rakyat.
Teori ‘Ghalabah’ ini amat berbeza dengan apa yang telah diutarakan oleh al-Juwayni.
Mengapa berlaku perbezaan yang amat berbeza antara Ibn Jama’ah dan al-Juwayni? Sedangkan mereka berdua adalah seorang ulama’ hebat di dalam mazhab yang sama, iaitu Syafie.
Di sini sejarah dan konteks amat memainkan peran yang penting.
Ibn Jama’ah hidup pada Zaman Mamluk, ketika mana Sultan punyai kuasa yang amat kuat dan punyai kuasa eksekutif, lebih berbanding khalifah. Mamluk Mesir juga menyaksikan Qutuz yang sudah menang di Ayn Jalut, tetapi balik sahaja ke Mesir, beliau dibunuh oleh Baybars. Ibn Jama’ah juga memberi saranan, jika khalifah punyai kekuatan, kuasa sultan boleh ‘diambil’ oleh khalifah.
Manakala, al-Juwayni hidup di zaman emas Seljuq, di bawab Nizam al-Mulk. Jadi rata-rata isi al-Ghiyathi sudah tersenarai dalam sosok Nizam al-Mulk. Buku ini juga ditulis khas untuk beliau.
3. Al-Siyasah al-Syar’iyyah fi Islah al-Ra’i wa al-Ra’iyyah oleh Ibn Taimiyah
Ibn Taimiyah (728H) adalah sosok yang amat terkenal dan kontroversial. Punyai ramai pendukung juga tidak kurang punyai ramai musuh. Ibn Taimiyah hidup ketika mana kemuncak penjajahan Mongol ke atas Islam, bermaksud Ibn Taimiyah hidup ketikamana Islam berada pada titiknya yang terendah.
Ibn Taimiyah di dalam karya Siyasah Syar’iyyahnya telah membina teori politik di atas teori politik atau Hukum Khalifah yang telah diletakkan oleh Abu Ya’la Ibn al-Farra al-Hanbali (458H). Menurut Abu Ya’la, jawatan Khalifah adalah harus. Di atas hukum ini Ibn Taimiyah telah membina teori beliau yang lebih centrist berbanding Ibn Jam’ah yang dilihat dan juga boleh dikatakan agak ekstrem.
Ibn Taimiyah percaya yang seharusnya memegang tampuk tertinggi di dalam pemerintah Islam adalah khalifah, dan bukannya Sultan atau apa sekalipun nama yang ada pada jawatan tersebut. Tidak seperti Ibn Jam’ah yang juga mengharuskan sama ada khalifah atau sultan untuk mengambil kekuasaan yang penuh jika dilihat ada keperluan dan kekuatan.
Yang menariknya lagi, Ibn Taimiyah telah mengangkat Surah al-Nisa’ ayat 58–59 sebagai kerangka teori Siyasah Syar’iyyah yang meletakkan khalifah sebagai nombor satu di dalam pemerintahan Islam.
4. Al-Muqaddimah al-Zahra fi Idah al-Imamah al-Kubra oleh Shams al-Din al-Zahabi

Shams al-Din al-Zahabi (748H) telah menulis sebuah buku berkaitan Siyasah Syar’iyyah. Buku yang ditulis al-Zahabi ini adalah khas untuk membantah sebuah buku yang ditulis oleh Hasan Ibn al-Mutahhar al-Hilli seorang ilmuan Syiah yang mendapat perlindungan di bawah Kerajaan Ilkhan Mongol. al-Hill telah menulis al-Karamah fi Ma’rifat al-Imamah yang telah menonjolkan teori Siyasah Syar’iyyah yang diimani oleh Syiah.
Ibn Taimiyah juga telah menulis sebuah kitab yang khas bagi melawan hujah al-Hilli, judul kitab tersebut ialah Minhaj al-Sunnah fi Naqd Kalam al-Syiah wa al-Qadariyyah. Seperti guru beliau, al-Zahabi menulis kitab bagi melawan al-Hilli.
Antara perbezaan penulisan Ibn Taimiyah dan al-Zahabi ialah al-Zahabi telah memberikan konsep umum tentang kepimpinan berbanding Ibn Taimiyah yang memang menulis khusus untuk melawan segala hujah al-Hilli.
Di dalam al-Muqaddimah al-Zahra, al-Zahabi telah menzahirkan simpati beliau kepada Ali RA dan al-Husain RA di atas konflik yang berlaku dengan Khilafah Umawiyah. Di dalam masa yang sama juga, al-Zahabi menekankan keabsahan Kepimpinan Abu Bakr, Umar dan Uthman RA.
Al-Muqaddimah al-Zahra juga adalah manifestasi al-Zahabi dalam mengangkat dan mengabsahkan kepimpinan Mamluk yang ketika itu dilihat lebih dominan berbanding khilafah dan mengkritik Keraajaan Ilkhan yang menganut fahaman Syiah, yang terkenal mencela Para Sahabat. Maka, menurut al-Zahabi, Mamluk dan Abbasiah di Mesir adalah pewaris dan pemerintah yang absah untuk menjadi de facto bagi pemerintahan Islam.
5. Tuhfat al-Turk fi ma Yajibu an Yu’mala fi al-Mulk oleh Najm al-Din al-Tarsusi

Pada tahun 663H & 664H, Sultan Mamluk iaitu al-Malik al-Zahir Baybars telah mengazetkan satu keputusan kerajaannya untuk melantik qadi agung bagi setiap mazhab yang empat di Mesir dan Syam.
Langkah yang bijak ini telah diputuskan oleh beliau apabila melihat konflik agama yang berpanjangan yang berlaku antara al-Asyairah, al-Maturidiah dan al-Athariah.
Kemudian pada kurun ke-8 Hijrah, datang seorang tokoh Mazhab Hanafi yang bernama Najm al-Din Ibrahim b. Ali al-Tarsusi (758H) yang berkhidmat sebagai qadi agung bagi Mazhab Hanafi dan Syafie sekaligus di Syam.
Tetapi ternyata al-Tarsusi lebih dikenali dengan kecintaan beliau kepada Mazhab Hanafi.
Al-Tarsusi mempunyai kitab Siyasah Syar’iyyah yang berjudul Tuhfat al-Turk ini, yang ditulis khas untuk Sultan Mamluk pada ketika itu, al-Malik al-Nasir Hasan b. Qalawun (762H).
Di dalam kitab itu, al-Tarsusi telah cuba untuk memujuk al-Nasir Hasan untuk menjadikan Mazhab Hanafi sebagai mazhab rasmi kerajaan. Beliau juga telah cuba untul ‘menyingkirkan’ Mazhab Syafie yang dilihat sebagai palibg berpengaruh pada ketika itu.
Hujah yang digunakan oleh al-Tarsusi adalah berkaitan sisi wajib bagi keturunan seorang pemimpin. Di dalam Mazhab Syafie, seorang pemimpin seharusnya datang dari keturunan Quraisy, sedangkan Mazhab Hanafi tidak mensyaratkan seperti itu.
Ini adalah noktah yang penting kerana al-Nasir Hasan bukanlah datang dari keturunan Quraisy bahkan bukan juga seorang Bangsa Arab. Al-Nasir Hasan adalah seorang yang datang dari keturunan Turki. Maka menurut al-Tarsusi, Mazhab Hanafi adalah yang selayakan untuk dijadikan sebagai mazhab rasmi negara kerana memperjuangkan keabsahan Kesultanan Mamluk yang dilihat lebih berkuasa pada ketika itu.
Maka, kita dapat lihat di sini al-Tarsusi boleh dianggap sebagai tokoh awal yang memasukkan elemen mazhab fiqh di dalam Siyasah Syar’iyyah.
6. Muqaddimah oleh Ibn Khaldun

Ibn Khaldun sangat terkenal dengan Muqaddimahnya, di dalamnya sarat dengan pelbagai teori dan formula sosial juga sejarah. Antara yang paling terkenal tentulah Teori Asabiyah.
Bagaimana teori atau fatwa ini boleh terhasil? Tentu ada latar belakang cerita yang berlaku. Bukan semudah menaqalkan hadis atau dalil naqli begitu sahaja.
Ibn Khaldun datang ke Kaherah dan dipayungi kuasa Sultan Mamluk pada ketika itu, iaitu Barquq.
Barquq pada ketika waktu pemerintahannya telah membuat satu langkah politik yang tidak popular, iaitu menangkap khalifah dan memenjarakannya. Pada Era Mamluk, khususnya pada Zaman Baybars, Sultan Mamluk telah berusaha kuat untuk meletakkan semula batu asas bagi Kekuasaan Khalifah, yang telah musnah lebur ketika di Baghdad pada 1258.
Jadi boleh dikatakan, Sultan yang punyai kuasa yang lebih dan Khalifah punyai pengaruh yang tidak boleh dipandang rendah.
Cuma, pada ketika kemuncak kuasa, Barquq telah bertindak melebihi had dan memenjarakan Khalifah al-Mutawakkil.
Rakyat berang dengan tindakan Barquq ini. Jadi Para Ulama’ dan rakyat dari Syam sehingga ke Mesir telah bangkit menentang Barquq. Banyak revolusi yang tercetus, antara yang masyhur ialah Revolusi Zahiri.
Akhirnya, Barquq berjaya ditangkap dan meringkuk di al-Karak (kini di Jordan).
Maka, Asabiyah di sini adalah satu fatwa yang telah diresolusikan oleh sekumpulan Ulama’ termasuklah Ibn Khaldun bagi membebaskan Khalifah yang telah ditahan. Kerana dengan adanya Khalifah, segala urusan berkait keabsahan agama dapat berjalan lancar.
7. Ma’athir al-Inafah fi Ma’alim al-Khilafah oleh Shihan al-Din Ahmad al-Qalqashandi

al-Qalqashandi (821H) merupakan seorang ilmuan Islam yang boleh dianggap sebagai seorang yang polymath yang pakar pelbagai bidang. Beliau merupakan murid kepada Siraj al-Din Ibn al-Mulaqqin (804H).
Beliau bukan sahaja seorang yang faqih di dalam Mazhab Syafie, bahkan beliau merupakan pegawai besar bagi Kesultanan Mamluk ketika pemerintahan Sultan Barquq.
Di dalam penulisan beliau, Ma’athir al-Inafah, beliau telah menulis khas untuk mengangkat dan mengabsahkan pemerintahan khalifah yang berkuasa pada ketika itu, iaitu; al-Mu’tadid biLlah III Daud (845H).
al-Qalqashandi menyatakan Khalifah di Kaherah merupakan seorang pemerintah yang datang dari keturunan Quraisy. Oleh itu, belia menekankan bahawa Khilafah Abbasiah di Kaherah adalah satu kepimpinan yang sah, sekaligus merendahkan legitimasi pemerintahan Umayyah di Andalusia dan Kerajaan Hafs di Utara Afrika.