Sindrom Tom Holland, Wansbrough, Crone dan Sindrom Pn. Asiah Jalil

Anas Bad Latif
2 min readJul 30, 2023

--

Pada separuh kedua kurun ke-20, dunia Pengajian Islam dan Pengajian al-Quran digegarkan dengan satu kisah dan isu.

Seorang sarjana yang berpengkalan di Negara Barat mengisytiharkan bahawa al-Quran yang orang Islam imani dan baca setiap hari, diturunkan di Utara Tanah Arab, tepatnya di Iraq, ujar John Wansbrough, seorang pemuka orientalis yang menggagaskan Mazhab Revisionis dalam lapangan Pengajian Islam (atau Orientalisme setepatnya, antara jasa besar Mendiang Edward Said ialah memberikan konotasi kotor pada kalimah Orientalisme.)

Anak murid Wansbrough, Patricia Crone juga berpendapat Islam asal syariatnya direka dan dibukukan di Jordan, dikawasan ketamadunan Nabatean.

Baru-baru ini sejarawan Inggeris, Tom Holland (bukan Spider-Man) mengatakan majoriti Syariat Islam diwarisi dari Syariat Yahudi dan Nasrani.

Jika diteliti persamaan antara ketiga-tiga tokoh, maka kita akan dapati mereka konsisten tentang Islam dan al-Quran bukan original dari Nabi Muhammad SAW apatah lagi berasal dari Allah SWT.

Adakah kita sebagai orang Muslim tidak marah? Ya, kita memang patut marah mendengar pernyataan tokoh-tokoh ini.

Namun, marah sahaja tidaklah mencukupi. Kerana kajian mereka agak meluas jajarannya, merangkumi kajian bahasa, manuskrip dan arkeologi.

Kekurangan besar mereka ialah tidak langsung mereka yakin dan merujuk dari sumber utama Islam.

Tidak adakah ilmuan Muslim yang cuba untuk melawan hujah mereka. Ternyata sebelum mereka wujud, Dr. Mustafa al-A’zami telah menulis satu makalah yang amat penting tentang susur galur rantaian Syariat Islam hingga ke Nabi Muhammad SAW.

Kajian beliau sangat canggih dan lengkap. Mendapat pengiktirafan lagi dari Universiti Cambridge.

Namun, seperti luahan sedih Dr. Muhammad al-Mukhtar al-Syinqithi; oleh kerana al-A’zami bukan berkulit putih dan bukan beragama Nasrani atau Yahudi, kajian beliau dipandang sepi sahaja oleh ilmuan barat.

Lalu kini, kita berhadapan dengan Pn. Asiah Jalil. Seorang wanita yang bijak pandai. Juga seorang lawyer yang terkenal dalam lapangan hak asasi manusia.

Keberanian dan kepetahan beliau pasti menjadi ikutan ramai.

Laungan beliau seperti, ‘Nabi tidak mampu adil’ dan ‘lebai sampah’ pasti telah membangkitkan kemarahan ramai Muslim.

Adakah kita patut marah? Ya, kita patut.

Tetapi seperti, Wansbrough, Crone dan ramai lagi sarjana barat, mereka telah menghidupkan banyak akal Muslim untuk meluaskan kajian mereka lantas mempertahankan Syariat bahkan tidak dikuasai emosi semata.

Sindrom ini sudah wujud sejak al-Quran diturunkan, dan sayangnya masih kekal sehingga kini.

Sindrom ‘ada hujah, tapi saya tak nak dengar hujah awak’?

Kita perlu biasa dan matang dalam mendepani sindrom ini.

(Tidak dinafikan juga pihak berautoriti perlu masuk campur dalam hal ini)

Ps: berkenaan penafsiran Surah al-Tahrim, sudah ramai ilmuan menulis tentangnya. Boleh rujuk penulisan Ust Huzaifah Hadis, Ust Zulhusni Zaki dan Ust Irfham Fitri.

--

--

Anas Bad Latif
Anas Bad Latif

Written by Anas Bad Latif

Ulum Al-Quran | Usul Al-Tafsir | Tafsir Al-Quran

No responses yet