TAMBUN, MARANG, LARUT DAN DALIL AL-QURAN

Di dalam Jami’ al-Tirmidhi ada sebuah bab berkenaan Tafsir al-Quran, bab itu dinamakan sebagai ‘Kitab Tafsir al-Qur’an ‘An Rasulillah SAW’.
Namu, ajaib sekali seni menulis al-Tirmidhi, sebelum memulakan hadis-hadis mengenai Tafsir al-Quran, beliau memulakan dengan sub-topik yang beliau namakan sebagai ‘باب ما جاء في الّذي يفسّر القرآن برأيه’ yakni berkenaan orang yang menafsirkan al-Quran dengan pandangannya sendiri.
Lagi sekali, ini adalah seni yang ajaib, sudah tentu seni ini sedikit sebanyak al-Tirmidhi telah terkesan dan pelajari dari guru beliau sendiri, iaitu al-Bukhari.
Di dalam sub-topik ini, al-Tirmidhi telah memulakan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
“ومن قال في القرآن برأيه، فليتبوّأ مقعده من النار”
Maksudnya: “Barangsiapa yang memberikan penafsiran al-Quran menurut pandangannya sendiri, maka dia telah menempah tempat baginya sendiri di dalam neraka kelak.”
Saya jadi teringat sebuah pengalaman peribadi bersama hadis ini sewaktu belajar Kelas Tafsir bersama Prof. Israr Khan, seorang sosok lagenda di UIAM. Bagi yang sudah biasa dengan Prof, beliau sering kali melontarkan soalan yang mencambah minda di dalam kelas, sambil itu beliau juga sering tersenyum sinis apabila melihat pelajar beliau terpinga-pinga dengan soalan yang telah beliau lontarkan.
Kelas pertama kami bersama beliau, Prof telah bawakan hadis di atas, dan beliau bertanya kepada kami, apakah maksud sebenar dari hadis. Kalau tidak ada sesiapa yang boleh menjawab persoalan ini, kita tutup kelas dan tak perlu belajar. Yelah, buat apa kita semua masuk neraka sedangkan kita tengah belajar subjek tafsir ni. Begitu ujar beliau.
Kelas menjadi hening dan senyap. Prof Israr matanya sudah melilau untuk mencari mangsa untuk dapatkan jawapan.
Satu persatu dari kami melontarkan jawapan. Namun, tiada jawapan yang memuaskan akal minda beliau.
Akhirnya, sahabat kami, Sheikh Maher, cuba menjawab. Beliau telah membawa satu hadis lagi yang lain yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA juga. Bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
“ومن قال في القرآن بغير علمٍ، فليتبوّأ مقعده من النار”
Maksudnya: “Barangsiapa memberikan penafsiran al-Quran tanpa ilmu dan kaedah yang benar, maka dia telah menempah tempat baginya sendiri di dalam neraka kelak.”
Jelas dan tuntas sekali jawapan sahabat kami, dan Prof Israr juga berpuas hati dengan jawapan itu.
2 hari parlimen bersidang, banyak sudah kedengaran para Yang Berhormat menggunakan ayat al-Quran, sama ada secara sengaja sengaja atau tidak dan sama ada di dalam sidang parlimen atau di luarnya.
Ada diantara mereka yang menggunakan untuk menguatkan hujah atau memberikan peringatan, sama ada bagi pihak sendiri atau berlawan dengan pihak lawan.
Sesungguhnya tindakan menggunakan ayat al-Quran sebagai dalil politik bukanlah sesuatu perkara yang baru. Bahkan, perkara ini telah berlaku sejak zaman para salaf kita yang mulia.
Tetapi perlu diberi peringatan di sini, golongan yang paling berhati-hati sekali untuk mentafsir al-Quran ialah para salaf kita yang mulia.
Abd al-Razak al-San’ani pernah meriwayatkan sebuah athar berkenaan sikap Ibn Abbas RA yang pernah diminta untuk menafsir sepotong ayat al-Quran. Tapi tuan-tuan tahu tak apa yang Ibn Abbas RA balas?
“وأكره أن أقول في كتاب الله بما لا أعلم”
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak suka untuk bercakap perkara yang aku tidak tahu mengenai al-Quran.”
Ini adalah sikap yang sangat ajaib. Mengapa ajaib? Kerana ini adalah Ibn Abbas RA! Gelaran beliau ialah Turjuman al-Quran dan Hibr al-Ummah.
Said Bin al-Musayyib, sejurus mendengar kata-kata Ibn Abbas RA ini, beliau telah berkata: “Ini adalah Ibn Abbas dan dia telah berhati-hati untuk berkata menggunakan al-Quran, sedangkan beliau jauh lebih alim dari aku.”
Berkenaan menggunakan ayat al-Quran bagi tujuan politik, ada sebuah athar dari Ibn Syihab al-Zuhri.
Pada suatu hari beliau sedang duduk bersama al-Walid Bin Abd al-Malik, seorang Khalifah dinasti Umawiyah Sang Khalifah sedang membaca al-Quran disisi al-Zuhri. Lalu beliau terbaca ayat 11 dari Surah Al-Nur. : “والّذي تولّى كبره منهم له عذاب عظيم”.
Kemudian al-Walid bertanya kepada al-Zuhri: ‘Siapakah yang dimaksudkan di dalam ayat ini? Bukankah ianya Ali Bin Abi Talib RA?”
Sebelum itu, ayat ini sedang menceritakan tentang akibat orang membawa berita dusta kepada khalayak ramai dan perseteruan di antara Banu Umayyah dan Banu Hasyim sudah amat masyhur. Oleh sebab itulah al-Walid bertanyakan soalan ini.
Seolah mahu menguji al-Zuhri. Namun, adakah al-Zuhri berasa takut dengan pemerintah tertinggi yang berada disisinya itu?
Lalu al-Zuhri menjawab: “Tidak wahai Amirul Mukminin!”. Al-Walid agak berang apabila mendengar jawapan al-Zuhri, buktinya beliau mengetuk tempat persemaiannya dengan sarung pedangnya beberapa kali. Kemudian al-Walid bertanya: “Lalu siapakah yang dimaksudkan itu?”.
Al-Zuhri menjawab semula: “Yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah Abdullah Bin Ubay Bin Salul!”. Itulah kepala bagi orang munafik di Madinah.
Penulisan ini bukanlah sesekali hendak menghalang ahli politik untuk mendekati dan membaca al-Quran. Tidak sama sekali. Bahkan, kami amat memuji dan mendokong peranan ahli politik dalam memartabatkan al-Quran dipersada masyarakat.
Tetapi, penulisan ini adalah nasihat semata buat ahli politik supaya lebih berhati-hati apabila menggunakan ayat al-Quran, lagi-lagi apabila digunakan bagi berhadapa dengan seteru politik di medan siasah.
Sepatutnya al-Quran beserta isinya perlu digunakan dan dileraikan isinya di dalam dasar-dasar bagi pembinaan yang lebih sejahtera.
Bukan digunakan untuk memenangkan idea parti dan idea ahli politik sendiri. Lebih malang apabila ayat al-Quran digunakan untuk menyemai kebencian sesama muslim.

Maka, sifat para salaf di atas wajar diikuti bahkan terdapat lagi banyak rekod sejarah berkenaan sifat para salaf dalam menggunakan ayat al-Quran bagi tujuan selain ibadah.
Semoga ahli politik lebih berhati-hati dalam menggunakan ayat al-Quran kerana mentafsir al-Quran mempunyai kaedah dan cara yang begitu rumit sehingga membuatkan Para Sahabat yang mulia amat berhati-hati untuk mentafsirkan al-Quran.
Wallahuaalam.