[Usaha Mengangkat Ketokohan Al-Tahir dan Al-Fadil Ibn ‘Ashur Dalam Dunia Intelektual Tafsir]

1. Pada tahun 1964, al-Tahir Ibn ‘Ashur sudah siap menulis karya agungnya, al-Tahrir wa al-Tanwir. Awalnya, sebuah syarikat dari Mesir (Pusat Ilmu Islam ketika itu) ingin mencuba untuk mencetak karya tersebut. Namun, hanya bertahan sehingga ke jilid ke-2 sahaja dan ianya pula mengambil masa selama 2 tahun untuk mencetak 2 jilid itu!
2. Jilid yang seterusnya hanyalah dicetak apabila negara Ibn ‘Ashur sendiri iaitu Tunisia membuat keputusan untuk mencetaknya. Oleh itu, projek ini diambil-alih pula oleh Pusat Percetakan Negara Tunisia pada tahun 1969, iaitu 5 tahun selepas Ibn ‘Ashur siap menulis karyanya.

3. Sebahagian Ilmuan Tafsir mendapati tren pergerakan Ilmu di dalam Dunia Islam pada kurun ke-20, tidak mengambil berat karya-karya dan ilmu yang datang dari luar dari Negara Mesir. Kesannya, karya-karya yang hebat yang datang dari Negara-negara Syam dan Barat Dunia Islam lambat diakses dan lambat pula mendapat perhatian.
4. Perkara ini berlaku atas beberapa sebab:
- Syarikat percetakan kebanyakannya berpusat di Mesir, Pusat Ilmu Islam.
- Arus Madrasah Islah yang dipelopori oleh Muhammad ‘Abduh dan Rashid Rida sangat dominan dan ianya juga berpusat di Mesir.
- Tunisia dan Barat Dunia Islam dianggap sebagai golongan marginal dan ‘luar kawasan’ Mesir.
5. Begitu juga nasib yang lebih kurang sama menimpa al-Fadil. Beliau telah mengarang buku sejarah intelektual tafsir ‘al-Tafsir wa Rijaluhu’, yang menjadi antithesis kepada karya Dr. Husayn al-Dhahabi ‘Al-Tafsir wa al-Mufassirun’.
6. Karya ini pada mulanya dicetak oleh sebuah syarikat yang berpengkalan di Tunisia. Siap dicetak, karya ini tidak dapat mencapai kemasyhuran sesuai dengan isinya yang hebat. Sehinggalah karya ini telah diambil alih untuk dicetak oleh sebuah syarikat yang berada di Mesir.
7. Antara sebab musabab yang menjadikan karya al-Fadil ini kurang diberi perhatian ialah kerana idea yang diketengahkan oleh beliau yang menongkah arus semasa tafsir, iaitu Tafsir bi al-Ma’thur, sebuah genre tafsir yang telah menjadi arus perdana
8. Setelah al-Fadil melihat karya-karya tafsir seperti Mafatih al-Ghayb oleh Fakhr al-Din al-Razi, Anwar al-Tanzil oleh al-Baydawi, Irshad al-‘Aql al-Salim oleh Ebussuud Efendi dan Tafsir al-Manar oleh Rashid Rida tidak diberikan tempat yang selayaknya seperti yang ditulis oleh al-Dhahabi. Al-Fadil bertindak menulis ‘Al-Tafsir wa Rijaluhu’ sebagai buah idea untuk melawan idea al-Dhahabi.
9. Apa yang lebih penting, dalam mengenengahkan idea beliau yang melawan arus ini, beliau tidak menyenaraikan tafsir-tafsir yang penting yang datang dari kawasan al-Maghrib al-Islami (kawasan al-Fadil sendiri) seperti al-Mahdawi, Abu Hayyan al-Gharnati dan al-Qurtubi. Walid Saleh telah berpendapat idea utama dalam penulisan al-Fadil ialah untuk memberikan takrifan yang sebenar tentang pengistilah Tafsir bi al-Ma’thur, bi al-Ra’y dan Ta’wil itu sendiri.
10. Pada akhir tahun 70-an dan awal tahun 80-an barulah Dunia Islam mula sedar bahawa di belah Barat Dunia Islam sangat penuh dengan ilmuan yang hebat, seperti al-Tahir dan al-Fadil Ibn ‘Ashur, dan sehingga kini karya dan idea mereka dikaji di dunia akademik dan dicetak.

p/s: al-Fadil wafat terlebih dahulu dari ayah beliau, iaitu pada tahun 1970M, manakala al-Tahir wafat pada tahun 1973M.