Visi Ilan Pappé & Visi Surah al-Isra’
Pada 14 Januari 2025, Al-Jazeera telah keluarkan satu wawancara dengan pemikir yahudi terkenal, Ilan Pappé, mengenai visi beliau terhadap masa depan Israel dan juga Zionis.
Ilan Pappe terkenal dengan kelantangan beliau terhadap kezaliman yang telah dilakukan oleh Israel. Walaupun mempunyai kerakyatan Israel, ini tidak menghalang beliau untuk menulis banyak buku mengenai kejahatan Israel dan Zionis.
Bukan itu sahaja, Ilan Pappé juga fasih ber-Bahasa Arab kerana ingin mengetahui lebih dalam mengenai Palestin.
Wawancara yang telah disiarkan oleh al-Jazeera ini telah diadakan di ibu kota Denmark, Copenhagen dalam sebuah program yang dikelolakan oleh European Palestinian Network. Kumpulan ini telah diasaskan oleh rakyat Denmark yang berasal dari Palestin.
Melihat signifikan isi penyampaian Ilan Pappé dan selarinya dengan Visi Surah al-Isra’ saya usaha untuk ringkas dan keluarkan noktah penting dalam wawancara ini.
Fasa Terkini Zionis Menurut Pappé
Israel kini berada di dalam fasa neo-Zionis, yang bermaksud Israel sedang diperintah dan dipenuhi dengan pendokong nilai asal Zionis yang ekstrem.
Tetapi neo-Zionis ini lebih ganas dan kejam kerana mereka berusaha untuk menjajah dengan pantas dalam masa yang minima. Ini amat berbeza dengan apa yang telah dilakukan generasi yang sebelum dari mereka. Generasi Zionis yang terdahulu menjajah satu kawasan dengan cara yang lebih lambat.
Contoh yang ketara boleh lihat bagi puak neo-Zionis ini ialah pada Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich.
Sejak ekstrimis kanan menjadi kerajaan, kita telah cubaan jahat dari para menteri mereka yang berupa seperti pencerobohan ke atas tanah suci Masjid al-Aqsa. Kemuncaknya adalah apabila Netanyahu memegang gambar peta ‘The Greater Israel’ yang menyahkan Palestin dan negara jiran arab.
Pasca 7 Oktober 2023 juga kita lihat, menteri seperti Ben-Gvir dan Smotrich berkali-kali mengugut untuk merampas Tebing Barat dan memanggil kawasan itu sebagai Judea & Samarea. Tujuan mereka lakukan ini adalah bagi mengembangkan lagi kawasan jajahan mereka serta bercita-cita ingin menjadi satu kuasa yang disegani di kawasan rantau Timur Tengah.
Secara fasa sejarahnya, Pappé dengan jelas mengatakan Israel berada dalam fasa terakhir Zionisme. Sejarah telah menunjukkan bahawa tabiat gerakan ideologi seperti Zionisme dan sama ada mereka itu dari entiti penjajah atau koloni, akan bersifat kejam dan juga merekalah paling bercita-cita tinggi. Namun, selepas itu dalam satu masa mereka akan jatuh dan runtuh.
Kesan Pemerintahan Donald Trump, Pengaruh Elon Musk & Peluang Kuasa Global Selatan
Menurut Pappé, susah untuk dijangka dan agak sukar untuk mengharapkan perkara yang positif dari pemerintahan penggal ke-2 pentadbiran Trump, apatah lagi beliau diketahui rapat dengan Elon Musk. Menjadikan gabungan mereka berdua sebagai gabungan yang populis.
Berita positif dari kemenangan Trump (dan juga Musk) adalah mereka adalah pemimpin yang populis. Musk juga dilihat seperti tidak boleh dikawal, juga dilhat sukar untuk dijangka gerak-gerinya.
Mereka akan menjatuhkan bersama mereka ekonomi Amerika dan kedudukan Amerika di persada antarabangsa. Maka, ia akan berakhir dengan teruk bagi Amerika jika personaliti seperti ini akan memimpinnya.
Dalam jangka masa panjang, Amerika zaman Trump akan dilihat lebih kurang penglibatan mereka dalam gelanggang antarabangsa. Sudah tentu ini adalah perkara yang positif.
Oleh itu, Kuasa Global Selatan (Global South) haruslah mengambil ruang vakum ini untuk membantu negara arab dan bukan hanya setakat Palestin. Tetapi Pappé telah meluahkan sedikit kekhuatiran, dalam masa terdekat ini, beliau lihat tidak ada yang mampu menghalang malapetaka yang telah dilakukan oleh Kuasa Global Utara (Global North).
Menurut Pappé, kita kini berada dalam babak terakhir dalam episod ngeri dalam kemanusiaan.
Gencatan Senjata Gaza, Apakah Signifikannya?
Pada pandangan Pappé, gencatan senjata yang akan berlaku sedikit masa sahaja lagi bukanlah pengakhiran buat malapetaka di Palestin. Kerana jenayah genosid masih lagi berlaku dengan jelas di Gaza dan Tebing Barat.
Tambah lagi Pappé, menurut beliau lagi, proses matinya Nyah-Kolonisasi dan Penjajahan akan berlaku dan akan mengambil masa selama 20 tahun.
Kita sekarang pada babak awal dalam episod pengakhiran penjajahan & kolonisasi Israel.
Bersabar Dengan Proses Akhir Kehancuran Israel
Ramai yang berasa pesimis apatah lagi berasa tidak yakin dengan kehancuran Israel. Manakan tidak, ketika Gaza di genosid di hadapan dunia (bahkan, Gaza adalah satu contoh genosid yang paling didokumentasikan dalam sejarah), kita semua tidak mampu melakukan apa-apa pon.
Di sinilah kearifan Pappé berkenaan sejarah dan juga tabiat penjajah akan memberi panduan buat semua yang sedang memerhati dan berharap.
Menurut kajian Pappe yang panjang itu, fasa terakhir adalah satu proses yang amat panjang. Fasa ini bukanlah fasa yang akan terus jadi. Fasa ini juga bukanlah berkaitan adakah dia akan berlaku, bahkan ia adalah persoalan ‘bilakah’ akan berlaku. Sudah tentu ini adalah proses yang akan memakan masa.
Pappe menambah lagi antara faktor utama yang akan menyumbang kejatuhan Israel kelak ialah: kebangkitan ahli politik populis seperti Trump, kuasa syarikat multinasional, kebangkitan fasisme, fasisme kanan baharu di Eropah dan tahap rasuah di beberapa negara Arab.
Selain itu, sentimen seperti pemanasan global, kemiskinan, imigrasi global akan membawa projek Zionis semakin hampir ke penghujungnya.
Surah al-Isra’ & Visi Ilan Pappé
Melihat optimis Pappé bukanlah satu perkara yang biasa. Bahkan, ia adalah perkara yang luar biasa kerana visi ini datang dari seorang ilmuan yahudi yang lahir di Haifa (Israel/ kawasan Palestin yang dijajah).
Bukan hanya itu, beliau juga bersabar dan berkemungkinan beliau tidak berpeluang untuk melihat visi yang beliau berikan.
Perlu ditekankan sekali lagi, visi yang diketangahkan oleh Pappé bukanlah sebuah konspirasi teori, bahkan ia adalah kajian pergerakan sejarah dan sosial yang telah dilakukan oleh beliau berpuluh tahun lamanya.
Kita juga pasti akan sedar, bahawa visi yang dilihat oleh Ilan Pappé ini amat mirip dan ada persamaan dengan Ayat 1–7 Surah al-Isra’, yang sebahagian para mufassir menjangkakan kehancuran Israel dan juga Bani Israil moden yang pasti akan tiba.
Persoalan penting di sini, adakah kita mampu optimis dan bersabar seperti Ilan Pappé.
Hanya kita sahaja yang mampu menjawab.